Peranan Unit Bimbingan Dan Kaunseling Di Sekolah

Pada mayapada yang mendepani ombak globalisasi ini, Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah telah memikul obligasi yang vital untuk memastikan perkembangan mental dan rohani pelajar-pelajar sejajar dengan perkembangan fizikal bagi memacu kejayaan Malaysia ke ambang 2020. Hal ini demikian kerana pelajar-pelajar yang masih berdarah muda setampuk pinang memerlukan bimbingan daripada guru-guru untuk menghadapi kehidupan yang penuh dengan ranjau ini. Dengan adanya Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah, mestilah para pelajar dapat mengecap kemaslahatan yang dibawa oleh unit tersebut. Persoalan yang bermain-main dalam gawang minda kita ialah apakah peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah? Persoalan ini akan dibincangkan secara terperinci hingga ke akar umbi sebentar lagi.

Marilah kita capahkan lensa perbincangan dengan menghuraikan peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling dalam menyediakan khidmat nasihat kepada pelajar yang menghadapi masalah. Pelajar-pelajar yang masih muda merupakan insan yang kurang berpengalaman bak kata orang tua-tua kurang makan garam dalam meniti kehidupan.Oleh itu, mereka memerlukan nasihat atau saranan yang bernasdaripada guru-guru kaunseling yang banyak makan garam. Sebagai tamsilannya, pelajar-pelajar yang menghadapi masalah tentang pergaulan mereka dengan kawan atau masalah pembelajaran boleh merujuk guru bimbingan dan kaunseling. Menurut kata-kata Richard Nixon, “Anda memerlukan pengalaman getir untuk menzahirkan keunggulan anda.” Jelaslah di sini bahawa dengan adanya nasihat, bimbingan dan dorongan daripada guru-guru kaunseling, tentulah para pelajar dapat mengembangkan sayap mereka dengan keberanian, kepintaran dan jiwa besar mereka untuk mencari resolusi bagi segala kemelut yang dihadapi oleh mereka.

Seterusnya, marilah kita luaskan perspektif dengan mendalami peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling dalam memberikan bimbingan kerjaya kepada pelajar-pelajar yang bakal menjejaki alam pembelajaran yang baharu. Disebabkan para pelajar bakal menjadi modal insan yang menggerakkan transformasi negara kita pada masa hadapan, guru-guru kaunseling memainkan peranan yang signifikan untuk membimbing para pelajar mengenal pasti bakat dan potensi dalam diri mereka. Dengan uslub ini, para pelajar dapat mengasah lagi potensi dan kemahiran mereka dan seterusnya menyerlahkan kehebatan mereka dalam bidang-bidang profesional. Sebagai evidensnya, kerjasama antara pihak sekolah dengan pihak universiti untuk mengadakan pameran pendidikan dan kerjaya, dapat menghasilkan sinergi bagi membimbing pelajar-pelajar untuk meneroka minat mereka dalam bidang-bidang baharu. Sementelahan pula, ceramah-ceramah tentang peluang melanjutkan pelajaran membolehkan para pelajar untuk memahami jurusan dan kursus-kursus pelbagai yang ditawarkan oleh universiti. Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Maka, bantuan daripada guru- guru kaunseling dapat membimbing mereka supaya tidak tersalah pilih kerjaya yang menjadi idaman di hati pelajar.

Jika ditinjau dari skop yang lain, Unit Bimbingan dan Kaunseling berperanan penting untuk meningkatkan motivasi murid. Allahyarham Profesor Hamka berpendapat bahawa biarpun seribu kapal tenggelam di tengah lautan, namun cita-cita mansia tidak pernah karam. Ungkapan ini jelas membuktikan betapa pentingnya jiwa besar untuk menggapai bintang kecemerlangan. Lantaran itu, bagi mengelakkan semangat dan cita-cita pelajar daripada luntur, Unit Bimbingan dan Kaunseling senantiasa berpenat lelah memerah idea untuk mengobarkan jiwa besar dalam diri pelajar. Sebagai justifikasinya, unit tersebut sering mengadakan kem motivasi untuk meningkatkan semangat pelajar untuk menghadapi pancaroba dalam kehidupan. Bagi pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan ini adalah seperti PT3, SPM dan STPM, minhaj ini adalah amat drastik agar para pelajar dapat meningkatkan keyakinan diri mereka bagi menongkah arus dalam kehidupan mereka. Izharlah, Unit Bimbingan dan Kaunseling dapat memastikan perkembangan mentaliti pelajar agar tidak terjerumus ke dalam lembah kehinaan.

Sebelum pena diskusi melabuhkan noktahnya, Unit Bimbingan dan Kaunseling telah menjamin pembentukan modal insan yang sempurna dari segi mental, iman dan rohani untuk menerajui negara Malaysia pada persada antarabangsa. Justeru, para pelajar seyogia menghargai nasihat dan bimbingan daripada guru-guru kaunseling supaya tidak menjadi insan yang bobrok dan terlibat dalam kebejatan moral. Pihak sekolah juga perlu proaktif dalam menggiatkan peranan unit ini demi kemaslahan para pelajar. Anak-anak umpama permata yang perlu digilap sehingga bersinar. Oleh hal yang demikian, marilah kita bersama- sama mengimplementasikan strategi-strategi yang pragmatik, efektif dan efisien bagi mengembangkan lagi peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling supaya dapat melahirkan modal insan yang berkaliber untuk menerajui cerucuk kepimpinan negara kita ke arah yang lebih maju. Biarlah pepohon terus menghijau, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah Malaysia terus gemilang.

.

This entry was posted in Bahasa Melayu, Karangan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s